JENIS-JENIS KANDUNGAN

Televisyen adalah satu medium komunikasi dan juga merupakan satu bentuk teknologi seseorang penerbit yang berjaya bukan sahaja mengetahui dan memahami teknik-teknik penerbitan sahaja tetapi juga melihat elemen-elemen dalam proses komunikasi melalui televisyen. Terdapat lima elemen-elemen penting dalam proses komunikasi iaitu, organisasi produksi, kepentingan rekaan mesej, kepentingan medium televisyen sebagai saluran komunikasi, audiens dan khalayak bertindak balas kepada penerbit rancangan.

Adalah sukar untuk menentukan siapakah yang sebenarnya mencipta televisyen kerana mengikut Fong dan Ross (1996), terdapat beberapa orang penyelidik yang membuat komponen televisyen di beberapa negara sekitar tahun 1920-an. Baird telah menunjukkan sistem televisyen elektro-mekanikal dan setahun kemudian Farnsworth telah memasang dan membina sistem televisyen elektronik. Menurut mereka, rancangan televisyen mula diperkenalkan apabila tiga buah rumah telah mempunyai set televisyen pada tahun 1928. Pada tahun 1930, kilang mula mengeluarkan set televisyen dan setahun kemudian siaran televisyen secara elektronik telah bermula di Los Angeles dan Moscow. Hanya pada tahun 1939 barulah ada siaran rancangan televisyen secara tetap.

Di Malaysia, siaran TV bermula pada 28 Disember 1963. Kemudian pada 17 November 1969, Rangkaian Kedua telah memulakan siaran. Sejak ditubuhkan dan hingga kini dua rangkaian TV ini dipunyai dan dikendalikan oleh kerajaan. Pada peringkat awal penubuhan, banyak rancangan TV berkisar pada pendidikan, penyatuan kaum dan sebagai sumber maklumat pembangunan. Ini adalah selaras dengan fungsi TV pada ketika itu, iaitu memberitahu, mendidik dan menghibur. Sebagai contoh, setiap rancangan hiruran terbitan tempatan akan memuatkan lagu Mandarin dan Tamil di samping lagu Melayu. Begitu juga dengan drama yang diterbitkan, terdapat gandingan pelakon Cina dan India dalam drama Melayu. Pada masa itu juga terdapat program yang mempromosikan budaya tempatan seperti pertandingan Dendang Rakyat dan Opah. Dari segi hiburan pula, terdapat rancangan Bakat TV yang mencungkil bakat baru dalam dunia hiburan. Rancangan agama seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam mendapat tempat di hati masyarakat hinggakan pernah menjadi rancangan mingguan yang paling popular dan ramai penontonnya.

Rancangan bakat TV iaitu rancangan yang berbentuk mencari bakat baru, tujuan utama peserta ialah memenangi pertandingan. Untuk memenangi pertandingan itu, para peserta perlu menarik perhatian penonton di rumah supaya mengundi mereka untuk menang. Cara untuk menarik perhatian penonton yang paling kontroversi ialah dengan memujuk serta memainkan emosi para penonton rancangan terbabit. Salah seorang wartawan hiburan Izzaman (2004), yang tidak berpuas hati dengan rancangan Akademik Fantasia. Menurut beliau, penonton wajar sedar kepda hakikat bahawa TV realiti atau bermirip TV realiti akan memanipulasikan emosi mereka. Oleh itu, penonton jangan sama sekali memberi ruang kepda program yang ditonton untuk memerangkap emosi dan ikut hanyut dalam program itu.

Suasana TV di Malaysia berubah dengan kehadiran TV swasta. Pada tahun 1984, TV3 telah memulakan siarannya dan ia telah memberi saingan yang hebat kepada TV kerajaan. Sepuluh tahun kemudian pada tahun 1994, satu lagi TV swasta telah dibenarkan beroperasi di sekitar Lembah Klang sahaja iaitu Saluran Metro Vision. Akan tetapi, stesen TV ini cuma bertahan selama lima tahun apabila ia memberhetikan siarannya pada 1 November 1999. Sungguhpun demikian, stesen TV berbayar yang pertama di Malaysia, Mega TV telah mula beroperasi pada tahun 1995. Pada tahun 1996, kerajaan telah meluluskan satu lagi stesen TV berbayar beroperasi dengan menggunakan sistem siaran terus dari satelit yang dikenalikan oleh Astro. Saluran TV swasta yang baru diluluskan oleh kerajaan untuk memberikan perkhidmatan adalah Saluran ntv7 pada tahun 1998.

Kehadiran TV swasta di Malaysia telah memberi saingan yang hebat kepada TV kerajaan. Demi mengekal dan menarik penonton baru, rancangan TV perlu diubah suai untuk merebut penonton kerana bilangan penonton yang ramai akan menjana pulangan iklan yang lumayan. Ini dapat dilihat di TV1 telah ada rancangan yang tidak berbahasa Melayu walhal telah ditetapkan bahawa TV1 akan mengguna dan menyiarkan rancangan berbahasa Melayu sahaja. Hasrat yang pernah dinyatakan bahawa sebanyak 80% rancangan TV adalah rancangan terbitan tempatan masih belum dicapai. Terdapat juga beberapa peraturan yang telah ditetapkan, baik untuk rancangan atau iklan, tidak dipatuhi oleh pihak yang berkenaan. Sebagai contoh adegan ciuman yang tidak disunting dan penggambaran iklan dari luar negara.

Mengikut laporan tahunan yang disediakan oleh unit TV RTM ke atas laporan tahunan rancangan TV RTM pada tahun1993, didapati bahawa rancangan televisyen dikelaskan kepada beberapa unit rancangan yang ditubuhkan di jabatan televisyen RTM. Ia terdiri daripada unit rancangan Agama dan Dakwah TV, unit Berita TV, unit Drama TV, unit Hal Ehwal Awam TV, unit Hiburan TV dan unit Pembangunan dan Pertanian TV dan unit Sukan TV.

Menurut pecahan kategori rancangan televisyen yang dikemukan oleh Parlimen pada tahun 1999 menunjukkan bahawa semua siaran TV di negara Malaysia banyak menyiarkan rancangan hiburan. Sementara TV1 dan TV3 menjadikan rancangan berita sebagai rancangan kedua banyak yang disiarkan oleh mereka. Manakala TV3 menyiarkan lebih banyak rancangan sukan dari rancangan agama.

Mengikut seksyen 9A Filem 1952 mengkehendaki supaya filem-filem yang ditapis diberikan pengkelasan. Sistem pengkelasan yang diwujudkan di Malaysia merangkumi dua kategori besar iaitu, untuk tontonan umum (U) dan untuk 18 tahun ke atas. Untuk tontonan umum bermaksud rancangan tersebut boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat kerana tidak mengandungi adegan yang tidak dikehendaki oleh Garis Panduan seperti babak ganas-seram, seks atau yang bertentangan dengan nilai agama, budaya atau politik. Untuk 18 tahun ke atas ialah rancangan yang mungkin mengandungi unsure ganas, seram dan seks yang tidak keterlaluan atau adegan yang menyentuh aspek keagamaan, sosial dan politik. Kategori yang diklasifikasikan adalah 18 SG, 18SX, 18PA dan 18PL. 18 SG ialah rancangan mengandungi unsur-unsur ganas atau seram tetapi tidak keterlaluan. 18 SX mengandungi unsur seks tetapi tidak keterlaluan. 18 PA mengandungi aspek agama, sosial dan politik. 18 PL mengandungi gabungan dua atau lebih unsur iaitu ganas, seram atau seks.

Menurut Md. Salleh Kassim (1984) dan Muhamad Rosli Selamat (2001) berita terbahagi kepada empat jenis iaitu Berita Daerah, Berita Bukan Daerah, Berita Nasional dan Berita Antarabangsa. Berita Daerah ialah berita yang melaporkan sesuatu kejadian yang baru berlaku di sesuatu tempat yang tidak begitu penting bagi penduduk di kawasan lain. Ia dianggap penting oleh para penduduk kawasan terlibat. Berita Bukan Daerah merangkumi berita tentang sesuatu kejadian yang baru berlaku di sesuatu daerah yang mempunyai keistimewaan dan dirasakan penting untuk diketahui oleh penduduk di daerah lain. Berita Nasional meliputi kejadian yang baru berlaku dan melibatkan sebahagian besar rakyat di sesebuah negara. Ia bukan sahaja diketahui oleh seluruh rakyat tetapi juga oleh negara lain. Berita ini seperti pengumuman Rancangan Malaysia Kelapan dan keputusan pilihanraya. Berita Antarabangsa mencakupi sesuatu kejadian yang baru berlaku di sesebuah negara. Ini termasuk peristiwa dan kejadian di antara dua buah kerajaan yang melibatkan ekonomi, keselamatan negara, sosial dan politik.

Musa Abu Hassan, Narimah Ismail dan Jusang Balong (2008) telah menjalankan penyelidikan mengenai analisis unsur budaya tempatan dalam lima rancangan siaran TV iaitu Drama Bersiri, Filem, Berita, Talk Show, dan Kartun. Analisis ini mendapati bahawa rancangan yang mempunyai lebih rancangan tempatan berbanding luar negara ialah Berita (91% masa siaran) dan Talk Show (87% masa siaran). Walau bagaimanapun, unsur budaya dalam rancangan seperti ini tidaklah sebanyak yang dipaparkan dalam rancangan drama dan filem. Amat menyedihkan bahawa rancangan kartun yang ditonton oleh kanak-kanak rata-rata merupakan luar Negara (80.9%  masa siaran) dan gabungan (17.9% masa siaran) dan hanya 1.3% sahaja rancangan tempatan. Ini dapat membayankan bahawa anak kecil yang diupamakan kain putih telah didedahkan lebih banyak budaya asing berbanding dengan budaya tempatan sejak kecil. Gambaran ini menunjukkan bahawa TV Malaysia tidak focus kepda usaha kesinambungan budaya kerana remaja dan kanak-kanak masa kini adalah generasi masa depan.

Rujukan

Akmar Hayati Ahmad Ghazali, Jusang Balong, Siti Zobidah Omar, Abdul Mual’ti @Zamri Ahmad. (2008). Cabaran Masa Kini. Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Bernard Berelson (1952). Content Analysis in Communication. Glencee, Illionis: The Free    Press.

Dominick. Joseph R. (1999). The Dynamic of Mass Communication. (6th ed).US: Addison Wesley Longman Publishing Company,Inc.