Mohd Rushadan (2008) menyatakan serviks atau pangkal rahim, adalah pintu keluar bagi rahim. Serviks merupakan organ reproduktif yang sangat penting kerana ia bukan saja menentukan kejayaan proses kelahiran bayi tetapi serviks dikenal pasti sebagai organ reproduktif yang paling terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. Masalah kesihatan yang paling utama ialah kanser serviks. Sebelum terjadinya kanser serviks, sel-sel di kulit serviks akan melalui beberapa siri perubahan di mana sel-sel tersebut menjadi tidak normal dari segi saiz, rupa bentuk dan juga susunan sel. Antara ciri-ciri kelainan yang terdapat pada sel-sel tersebut ialah saiz nukleus yang lebih besar, warna nukleus yang lebih hitam pekat dan terdapatnya proses pembiakan yang di luar kawalan. Sel-sel yang tidak normal ini bermula dari dalam lapisan kulit serviks. Punca perubahan sel-sel di bahagian kulit serviks ini adalah akibat jangkitan sejenis virus yang dinamakan HPV (Human Papilloma Virus). HPV ialah sejenis virus yang sangat kecil dan mempunyai DNA (baka) yang berbentuk bulat. Terdapat lebih daripada 100 jenis HPV berdasarkan kepada susunan gen (baka) dalam DNA mereka. Ia boleh dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu HPV berisiko rendah dan HPV berisiko tinggi. Virus berisiko rendah selalunya dikaitkan dengan penyakit kutil yang boleh terjadi di mana-mana anggota badan termasuk tapak kali, tapak tangan, bibir dan lain-lain. Virus berisiko tinggi pula ialah virus yang menjadi punca prakanser dan kanser pada bahagian genitalia seperti prakanser dan kanser serviks, vulva dan faraj. Virus berisiko tinggi ini berkeupayaan memasuki sel-sel kulit serviks dan melepaskan DNA mereka untuk bercantum dengan DNA sel-sel kulit serviks. Percantuman kedua-dua DNA ini mencetuskan satu proses yang kompleks yang merencat sejenis protein yang dinamakan p53. P53 ini adalah protein yang dikenali sebagai protein perencat kanser dan protein p53 ini bertanggungjawab merencat kejadian kanser. Akibat daripada perencatan protein p53 ini, maka pembiakan sel-sel akan menjadi tidak normal dan di luar kawalan badan manusia. Akibat terakhir daripada proses ini ialah terjadinya sel-sel kanser. Prakanser serviks merujuk kepada peringkat di mana sel-sel yang tidak normal ini masih berada di dalam lapisan kulit serviks dan belum lagi merebak keluar. Terdapat dua prasyarat untuk terjadinya prakanser dan kanser serviks selepas dijangkit HPV iaitu, jangkitan oleh HPV berisiko tinggi dan jangkitan yang berpanjangan sekurang-kurangnya selama 12 bulan. Peringkat prakanser ini jika tidak dikesan dan dirawat boleh bertukar menjadi kanser.

Faktor penyumbang utama kepada pembentukan kanser ini ialah jangkitan HPV (Human PapillomaVirus). HPV ialah papilomavirus yang berjankit di kulit dan membrane mucus. Terdapat lebih daripada 100 jenis HPV tetapi hanya 40 jenis daripada jumlah tersebut merupakan HPV yang boleh berjangkit. Dalam 40 jenis HPV tersebut, sesetengah berada dalam tahap risiko rendah dan sesetangah berada dalam tahap risiko tinggi iaitu berpeluang membawa kepada kanser serviks. Kebanyakan HPV tidak akan menjadi simptom menghidapi kanser serviks kerana 90% daripada jumlah HPV tersebut akan sembuh dengan adanya keupayaan menentang virus di badan seseorang. Sekiranya jangkitan HPV berterusan ia boleh menyebabkan berlakunya perubahan kepada tisu di serviks dan sebahagian boleh menyebabkan tisu tersebut bertukar menjadi kanser. (dipetik dari The Star, 2009)

Faktor lain yang menyumbangkan kepada penghidapan kanser serviks ialah mempunyai tahap keupayaan menentang jangkitan HPV yang rendah (Lum, 2009), menjalankan kegiatan seksual pada usia muda (Saunthari, 2010 ; Lum, 2009), mempunyai pasangan seks yang ramai (Lum, 2009), tahap sosial ekonomi yang rendah (Lum, 2009), mengandung lima atau lebih kali (Lum, 2009), merokok (Saunthari, 2010 ; Lum, 2009), dan penggunaan pil pencegah kehamilan untuk tempoh yang lama (Saunthari, 2010).

Menurut pakar perundingan ginekologi-onkologi Hospital Sultanah Bahiyah iaitu Rushdan (dipetik dari The Star, 2008), remaja yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan seks menghadapi risiko setinggi 99.9% berhadapan dengan HPV, iaitu penyebab kepada kanser serviks. Risiko berjangkit HPV dalam kalangan remaja adalah lebih tinggi kerana tahap sistem pengimunan dalam badan adalah rendah.

Raja Juhaidah (2009) menyatakan bahawa kanser serviks ialah kanser yang kerap terjadi dalam kalangan wanita kerana ia menyerang organ reproduksi. Kanser serviks terjadi apabila sel yang normal pada serviks (pangkal rahim) bertukar menjadi sel barah.

Siti Nurafiza (2010) kanser serviks atau kanser pangkal rahim terjadi apabila terdapat pertumbuhan sel yang tidak normal di dalam serviks. Serviks adalah bahagian pada pangkal uterus yang menghubungkan uterus atau rahim dengan vagina.