Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (2004) menunjukkan sebanyak 21,464 kes kanser dilaporkan pada tahun 2003 di Semenanjung Malaysia. Kadar penyakit kanser dalam kalangan lelaki adalah 97.4 per 100,000 penduduk manakala kadar penyakit kanser dalam kalangan wanita pula adalah 134.3 per 100,000 penduduk. Ini mennjukkan kadar menghidapi kanser dalam kalangan wanita di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki.

Sebanyak 500,000 kes baru kanser serviks dikenal pasti setiap tahun (Peto, et al., 2007). Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangasaan 2003, kanser serviks merupakan kanser kedua kerap dihidapi oleh wanita di Malaysia selepas kanser payudara. Ia menyumbangkan kira-kira 12% daripda keseluruhan kejadian kanser dalam kalangan wanita. Pada tahun 2002, terdapat kira-kira 17.8 kes dicatatkan bagi setiap 100,000 penduduk berbanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat iaitu hanya 5.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Berbanding dengan negara lain, kejadian kanser serviks di Malaysia adalah lebih tinggi. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Liow (2009), sejumlah 4057 kes kanser serviks telah dikenal pasti antara tahun 2003 hingga 2005. 7.9% (2000-3000 kes setiap tahun) dari semua kes kanser di hospital kerajaan terdiri daripada kanser serviks. Sebanyak 50% yang telah dikenal pasti menghidapi kanser serviks ialah wanita dalam lingkungan umur antara 35 tahun hingga 55 tahun. Wanita dalam lingkungan umur 50 hingga 69 tahun merupakan jumlah penghidap kanser serviks yang paling banyak.

Menurut Berita Kesihatan China, kajian menunjukan 25% hingga 30% penghidap berada dalam tahap kritikal ketika mengesan mereka menghidapi kanser serviks. Kajian yang dijalankan oleh Agensi Penyelidikan Antarabangsa menunjukkan lebih daripada 270,000 kes kanser serviks yang mengakibatkan kematian setiap tahun (dipetik dari The Star, 2008). Aljunid (dipetik dari The Star, 2009) menyatakan bahawa seramai 766 orang yang mati setiap tahun di Malaysia kerana menghidapi kanser serviks. Pernyataan ini turut disokong dengan kajian yang dijalankan oleh Glaxosmithkline Pharmaceutical Sdn. Bhd iaitu sebanyak 13% wanita di Malaysia yang menghidapi kanser serviks dan mereka merupakan golongan wanita yang berada dalam lingkungan umur antara 35 tahun hingga 45 tahun.

HPV vaksin merupakan suatu perubahan dalam bidang perubatan yang berpotensi untuk mengubah tahap kesihatan wanita dari segi pencegahan menghidapi kanser serviks. Pada tahun 2006, FDA (Food and Drug Administration) meluluskan pemvaksinan HPV yang pertama kepada perempuan berumur antara 9 hingga 26 tahun (Marko et al., 2007). Dengan wujudnya vaksin HPV yang dapat menghalang jenis HPV yang paling kerap mengakibatkan kanser serviks di seluruh dunia maka, ia diramalkan dapat menghalang ribuan kes kanser serviks di seluruh dunia (Harper, 2004) dan memberi sumbangan yang besar dalam bidang penjagaan kesihatan (Kulasingam dan Myers, 2003). Vaksin ini melindungi perempuan daripada menjangkit HPV 18 dan 18 iaitu virus yang dianggarkan memberi 70% penularan kepada kanser serviks dan HPV 6 dan 18 iaitu virus yang dianggarkan memberi 90% penularan kepada ketuat genital (Sloane, Karen, David, Elizabeth dan Terri, 2010). Vaksin HPV bukan menggantikan ujian Pap tetapi bertujuan untuk mengurangkan risiko menghidapi kanser serviks dan ketuat genital (Romanowski, 2010).

Terdapat lebih daripada 100 jenis virus HPV dan 40 jenis daripada jumlah tersebut boleh menjangkiti kawasan genital (Koustsky dan Kiviat, 1999). HPV genital merupakan jangkitan yang paling umum dijangkit menerusi hubungan seks dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat (Weinstock, Berman & Cates, 2004). Majoriti jangkitan HPV akan hilang secara spontan tetapi jangkitan HPV yang berterusan akan menjadi prakanser. Kebanyakan kes kanser serviks disebabkan oleh HPV menerusi hubungan seks.(Persatuan Kanser Amerika, 2008; Molano et al., 2003) Kajian terhadap vaksin HPV yang diperkenalkan oleh Merck menunjukkan vaksin tersebut adalah hampir 100% berkesan bagi wanita yang tidak jangkit keempat-empat jenis virus HPV tersebut sebelum ini (Gardasil, 2006).

Deborah (2010) menyatakan jangkitan HPV merupakan jangkitan yang paling kerap dihidapi melalui hubungan seks. Lebih daripada 80% lelaki dan wanita akan mendapat jangkitan HPV dalam hidupnya. Majoriti jangkitan ini berlaku selepas hubungan seks. Kebanyakan individu yang mendapat jangkitan HPV tidak menunjukkan tanda yang jelas. Jangkitan HPV untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan menular menjadi kanser serviks. Untuk mencapai pencegahan daripada menghidapi kanser serviks maka, perempuan adalah digalakkan mendapatkan suntikan vaksin HPV sebelum aktif dalam hubungan seks.

Menurut tinjauan pengimunan kebangsaan remaja 2009 di Amerika Syarikat terhadap 20 000 kanak-kanak di antara umur 13 hingga 17 tahun menunjukkan terdapat peningkatan kepada 51%  bagi mereka yang mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin HPV. Selain itu, peningkatan kepada 36% bagi mereka yang mendapat tiga dos suntikan vaksin HPV. Ini jelas menunjukkan semakin ramai remaja mendapat suntikan vaksin HPV di Amerika Syarikat.

Menurut Dr Saunthari (2010), pencegahan selalunya lebih baik berbanding rawatan apatah lagi dengan adanya suntikan pelalian bagi mencegah penularan kanser serviks. Vaksin ini boleh diambil seawal usia 14 tahun. Vaksin ini didapati amat berkesan terhadap jenis HPV yang menyebabkan kanser serviks. Vaksin ini hanya perlu diambil sekali dalam seumur hidup. Menurut Wain (2008), kajian terkini menunjukkan keberkesanannya dalam mencegah penularan kanser serviks adalah sehingga 89%  termasuk bagi mereka yang berada dalam lingkungan umur antara 26 tahun hingga 45 tahun.

Menurut Wain (2008), kerajaan Australia membelanjakan sebanyak A$450mil (RM 1.4bil) dalam kempen pencegahan kanser serviks untuk tempoh dua tahun yang termasuk penawaran perkhidmatan suntikan pelalian kepada kanak-kanak perempuan yang berumur 12 tahun. Selepas membuat pertimbangan mengenai kos ubat-uabt rawatan kanser yang ditanggung, Kerajaan Australia menganggap penawaran perkhidmatan suntikan pelalain merupakan suatu tindakan yang berkesan dalam mencegah kanser.

Program Pelalian HPV dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk semua remaja perempuan yang berumur 13 tahun di seluruh negara. Program ini menelan perbelanjaan sebanyak RM150 juta setahun bagi meliputi 300,000 orang remaja perempuan setiap tahun. Dijangkakan terdapat 500,000 kes baru dan 250,000 kematian akibat kanser serviks setiap tahun di seluruh dunia dan 80% daripadanya berlaku di negara-negara membangun manakala di negara-negara maju, kadar menghidapi adalah lebih rendah. Seperti di United Kingdom kanser ini hanya merupakan kanser yang kelima tertinggi berikutan kesan daripada sistem saringan dan pencegahan yang baik. (Jamisah, et.al, 2008)

Menurut Program Kebangsaan Pemeriksaan Serviks Australia (2008), vaksin mencegah kanser serviks boleh mencegah jangkitan jenis-jenis HPV yang menyebakan majoriti kes kanser serviks. Vaksin ini telah diluluskan di Australia untuk kaum wanita dalam lingkungan umur 9 hingga 26 tahun. Vaksin HPV percuma disediakan di bawah Program Pengimunan Nasional. Sebaik-baiknya vaksin ini diberi kepada pemudi-pemudi sebelum mereka mula melakukan hubungan seks. Vaksin ini bertujuan mencegah kanser serviks di generasi kaum wanita akan datang. Calitan Pap yang tetap masih perlu kerana vaksin akan mencegah beberapa jenis HPV yang menyebabkan kanser serviks.

Tahap kesedaran orang awam mengenai HPV menjadi semakin penting kerana wujudnya ujian saringan Pap Smear dan vaksin HPV yang baru diperkenalkan dalam pasaran. Maklumat yang tepat mengenai kesihatan adalah penting terutamanya bagi wanita supaya mereka boleh membuat keputusan mengenai vaksin HPV, mengurangkan risiko menjangkit HPV, menterjemah keputusan ujian Pap Smear serta mendapatkan rawatan yang sepatutnya. (Friedman dan Shepeard, 2006)

Para pengamal kesihatan bertindak menggunakan pendekatan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang sains sosial serta memberi tumpuan dalam menjalankan promosi kesihatan menerusi media dan penggunaan komunikasi secara bersemuka berbincang mengenai gaya hidup yang sihat kepada orang awam. Menurut teks ucapan Menteri Kesihatan Liow (2010) dalam pelancaran kempen kesedaran “Power over Cervical Cancer” yang dijalankan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia menekankan kesedaran adalah sangat penting dalam mendidik orang awam mengenai kanser dan memberi tumpuan kepada pentinganya pengesanan awal kerana ia dapat meningkatkan peluang untuk menyembuhkan kanser serviks. Pelbagai kempen kesedaran mengenai kanser serviks dijalankan oleh agensi yang berkenaan di Malaysia. Contohnya, OGSM (Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia) mengadakan kempen yang bertema “Walking Tall Charity Fun Walk 2008” untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser serviks pada Hari Wanita Antarabangsa (dipetik dari The Star, 2008). MSD (Pharmaceutical company Merck Sharp & Dohme) menjalankan kempen untuk peringkat awal bertemakan “Tell Someone” yang bertujuan untuk membentukan kesedaran wanita. Kempen untuk peringkat kedua yang dijalankan bertemakan “Everything I can” untuk tempoh 8 bulan. Kempen ini bertujuan memperkasakan wanita supaya mereka lebih memhami tantang kanser serviks dan mengalakkan mereka mengambil langkah pertama untuk melindungi diri daripada kanser serviks dan jangkitan HPV iaitu berjumpa doktor untuk mengetahui cara melindingi diri daripada kanser dan jangkitan tersebut (dipetik dari The Sun, 2008). Matlamat CARES (Cervical Cancer Awareness Association) ialah mengurangkan kes kenser serviks di Malaysia dengan membekalkan panduan dan pendidikan mengenai kanser serviks untuk meningkatkan kesedaran orang awam. Fokus utama persatuan ini ialah mempromosikan program pemeriksaan saringan Pap Smear dan langkah-langkah pencegahan. (dipetik dari The Star, 2008) Pada tahun 2010, Persatuan Kebagsaan Kanser Malaysia menjalankan kempen kanser serviks dengan memilih seorang wanita penghidap kanser serviks sebagai duta untuk meningkatkan tahap kesedaran warga Malaysia yang bertajuk POCC (Power Over Cervical Cancer). Dalam kempen tersebut, duta tersebut berkongsi pengalaman yang dialaminya ia bertujuan untuk meingkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjalankan pemeriksaan saringan Pap Smear (dipetik dari The Sun, 2010).