Komunikasi berasal dari perkataan Latin iaitu “communicare” yang membawa maksud perkongsian. Komunikasi ialah proses perkongsian pandangan, idea dan perasaan antara satu sama lain dalam konteks yang mudah difahami oleh orang ramai (Cangara, 2002:18). “Communicare” berakar dari kata “communis” iaitu sama makna (Effendy, 1992:54). Dalam komunikasi, harus mengandungi kesamaan makna atau pengertian. Sekiranya tiada kesamaan makna antara komunikator maka, proses komunikasi tidak akan berlaku.

Sarjana komunikasi mendefenisikan komunikasi dari pelbagai perspektif, antaranya termasuk perspektif falsafah, sosiologi, dan psikologi. Menurut perspektif falsafah, komunikasi menekan kepada kesan proses komunikasi antara komunikator dan komunikan, dan bagaimana mereka menggunakan komunikasi untuk berhubungan dengan alam yang realiti (Rakhmat,1997). Menurut perspektif psikologi, Hovland, Janis, dan Kelly (dalam Rakhmat, 1997:3) mendefinisikan komunikasi sebagai ”the process by which an individual (the communicator) transmits stimulus (usually verbal) to modify the behavior of the other individuals (the audience).” Dengan kata lain, komunikasi adalah proses yang dilalui oleh seorang individu (komunikator) untuk menyampaikan stimulus (biasanya secara verbal) yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku orang lain (komunikan). Lantas, Dance (1967) menyatakan bahawa komunikasi dalam kerangka psikologi dikaitkan dengan perlakuan komunikasi iaitu keupayaan seseorang untuk membentuk maklum balas secara verbal. Menurut perspektif sosiologi, Colin Cherry (1964) mendefinisikan komunikasi sebagai keupayaan individu untuk membentuk satu sistem sosial yang terdiri daripada individu yang menggunakan komunikasi verbal atau bukan verbal.

Edwin Neumann mendefinisikan komunikasi sebagai proses untuk mengubah kelompok manusia menjadi berfungsi (Rakhmat, 1997:8).

Bernard Berelson dan Garry A. Stainer (1978), komunikasi adalah penyampaian maklumat, gagasan, emosi, keterampian dan sebagainya dengan menggunakan lambang-lambang, kata-kata, gambar, bilangan, mimik muka, gerak-gerik atau bahasa tubuh, sikap, suara, tulisan, grafik, telegram, telefon, cetakan, dan apa saja yang merupakan penemuan mutakhir.

Berko, Wolvin and Wolvin (2007) menyatakan bahawa komunikasi adalah dinamik, berterusan, tidak dapat ditarik balik dan saling berkaitan. Komunikasi adalah proses yang dinamik kerana keadaan dalam proses komunikasi sentiasa berubah. Keadaan komunikasi sentiasa berubah disebabkan oleh sikap, tanggapan, perasaan dan emosi seseorang yang sentiasa berubah mengikut situasi dalam komunikasi. Komunikasi adalah berterusan kerana kita selalunya memproses idea dan informasi ia tidak berhenti sama ada seseorang tertidur atau bangun. Maklumat dan idea diproses melalui minda sama ada melalui mimpi, pandangan, idea dan ekspersi.

Menurut Sulaiman, Mohd Salleh dan Azlina (2002), komunikasi merupakan proses bagaimana maklumat ditukar dan difahami oleh dua atau lebih orang. Komunikasi merupakan satu proses pengaliran maklumat dan kefahaman yang bermula dengan niat, keinginan memindahkan maklumat kepada orang lain kerana komunikasi dapat membuat sistem menjadi dinamik dan menghubungkan sesuatu tujuan.

Peranan komunikator sangat penting dalam strategi komunikasi. Para ahli komunikasi cenderung bersependapat bahawa dalam proses melancarkan komunikasi yang lebih baik ialah dengan mengaplikasikan pendekatan yang “A-A Procedure” atau “From Attention to Action Procedure”. “A-A Procedure” adalah suatu proses yang disingkat daripada AIDDA iaitu “Attention”, “Interest”, “Desire”, “Decision” dan “Action”. Proses perubahan ialah kesan komunikasi melalui tahap-tahap tertentu yang bermula dengan membangkitkan perhatian. Apabila perhatian komunikan telah terbangkitkan maka, hendak disusul dengan keupayaan untuk membentuk minat, yang merupakan darjah yang lebih tinggi daripada perhatian. Minat adalah kelanjutan dari perhatian yang merupakan titik tolak bagi bentuknya keinginan untuk melakukan suatu kegiatan yang diharapkan komunikator. Dengan adanya keinginan pada diri komunikan, maka ia dilanjutkan dengan keputusan yang akhirnya mengalakkan komunikan untuk bertindak.

Selain melalui pendekatan di atas, seseorang komunikator harus mempunyai kemampuan diri untuk melakukan perubahan sikap, pendapat, dan tingkah laku. Rogers (1983) mengatakan kredibiliti adalah tingkat di mana komunikator dipersepsikan sebagai suatu kepercayaan dan kemampuan oleh penerima. Hovland (dalam Krech, 1982) penelitiannya mengatakan bahawa pesan yang disampaikan oleh komunikator yang tingkat kredibilitinya tinggi akan lebih banyak memberi pengaruh kepada perubahan sikap dalam penerimaan pesan daripada jika oleh komunikator yang tingkat kredibilitinya rendah. Rakhmat (1989) mengatakan dalam berkomunikasi yang berpengaruh terhadap komunikan bukan hanya apa yang disampaikan, tetapi juga keadaan komunikator secara keseluruhan. Jadi ketika suatu pesan disampaikan, komunikan tidak hanya mendengarkan apa yang dikatakan tetapi ia juga memperhatikan siapa yang mengatakan. Selanjutnya Tan (1981) mengatakan kredibilitas sumber terdiri dari dua unsur, iaitu keahlian dan kepercayaan. Keahlian diukur dengan sejauh mana komunikan menganggap komunikator mengetahui jawaban yang benar, sedangkan kepercayaan dioperasionalisasikan sebagai persepsi komunikan tentang sejauhmana komunikator bersikap tidak memihak dalam penyampaian pesan. Dari variabel kredibiliti dapat ditentukan dimensi-dimensinya iaitu : keahlian komunikator (kemampuan, kecerdasan, pengalaman, pengetahuan, dsb) dan kepercayaan komunikator (kejujuran, keikhlasan, keadilan, dsb). Demikan juga mengenai daya tarik adalah berkenaan dengan tingkat mana penerima melihat sumber sebagai seorang yang disenangi dalam bentuk peranan hubungannya yang memuaskan. Effendy (1983) mengatakan daya tarik adalah komunikator yang dapat menyamakan dirinya dengan orang lain, apakah ideologi, perasaan, dan sebagainya. Demikian juga Tan (1981) mengatakan daya tarik adalah diukur dengan kesamaan, familiaritas, dan kesukaan. Kesamaan meliputi pandangan, wawasan, idea, atau gagasan. Familiaritas meliputi empati, simpati, dan kedewasaan. Kesukaan meliputi frekuensi, ketepatan, keteladanan,dan kesopanan. Demikian mengenai faktor-faktor yang penting dimiliki oleh komunikator agar komunikasi yang dilancarkan dapat merubah sikap, pendapat, dan tingkah laku komunikan.