Menurut Suhaimi (2000), terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita yang berusia 40 tahun ke atas menghadapi risiko menghidapi kanser seperti kanser payu dara dan kanser serviks. Kanser bukan penamat kehidupan kepada mereka yang menghidapinya kerana terdapat rawatan susulan untuk mengubatinya. Wanita adalah digalakkan mengambil inisiatif untuk melakukan pemeriksaan saringan Pap Smear kerana semua orang menghadapi risiko yang sama dalam menghidapi kanser.

Menurut Mustapha (dipetik dari New Straits Time, 2008), jangkaan 80% wanita akan mendapat jangkitan HPV dan 50% daripada jumlah tersebut berkemungkinan bertukar menjadi kanser serviks. Wanita menghadapi risiko ini sebaik sahaja mereka memulakan aktiviti  seksual. Apabila seseorang wanita mendapat jangkitan HPV, ia mengambil tempoh masa antara 5 hingga 10 tahun bertukar menjadi kanser serviks. Sekiranya wanita menjalankan pemeriksaan saringan Pap Smear secara berkala, maka sel-sel kanser tersebut dapat dikesan pada peringkat awal.

Kanser serviks boleh dicegah melalui ujian saringan Pap Smear yang teratur dan rawatan pada peringkat pra-malignant. Melalui sistem saringan yang teratur didapati berkesan dalam mengurangkan kematian akibat kanser serviks. Bagi negara-negara maju seperti England dan Denmark, pengliputan calitan pap adalah melebihi 80% manakala di negara-negara membangun seperti Malaysia adalah lebih rendah dan berbeza antara negara-negara dan kawasan dalam sesuatu negara tersebut. Ini adalah akibat daripada perbezaan dari segi pengetahuan umum mengenai calitan pap, kebudayaan, kepercayaan, tahap sosio-ekonomi, kemudahan kesihatan dan keadaan geografi. Faktor-faktor ini telah menyumbang kepada perbezaan kes-kes wanita yang menghidapi kanser serviks yang ketara di antara negara maju dan yang sedang membangun.

Sensitiviti calitan pap adalah 40 hingga 70 % dan negatif palsu yang boleh diterima adalah 15 hingga 25%. Sebab-sebab utama keputusan negatif palsu disebabkan oleh kaedah penyediaan pensampelan slaid dan penelitian slaid yang kurang tepat. Kesahan calitan pap adalah 99%, walau bagaimanapun positif palsu boleh berlaku. Reliabiliti calitan pap juga bergantung kepada kemahiran pakar perubatan yang mengambil, menyedia dan meneliti smear tersebut.

Pada tahun 2003, American College of Obstetric and Gyneacology mencadangkan wanita yang mula mempunyai hubungan seksual yang aktif digalakkan melakukan saringan kanser pangkal rahim pada setiap tahun sehingga umur 35 tahun dan selepas itu setiap 3 tahun sekali sekiranya semua keputusan saringan yang didapati negatif. Bagi wanita Malaysia, ujian saringan Pap Smear dicadangkan setiap tahun untuk 2 tahun pada permulaannya dan 3 tahun sekali selepas itu. Keutamaan bagi melakukan calitan pap diberikan kepada mereka yang berumur 35 ke atas dan aktif seksual, dikenal pasti menghidapi penyakit kelamin, mempunyai lebih daripada 5 orang anak, menggunakan kaedah pencegahan hamil lebih daripada 5 tahun dan mereka yang baru menyertai sistem saringan ini.

Menurut ulasan dari pihak perubatan, sebab utama kanser serviks mengakibatkan kematian ialah kegagalan individu menjalankan ujian saringan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh pusat kesihatan. (Zapka et al., 2004) Sesetengah organisasi pengurusan kesihatan menyediakan nota perubatan elektronik supaya orang awam boleh hadir untuk membuat ujian saringan atau mendapatkan rawatan mengikuti jadual yang ditetapkan secara berterusan. (Brailer, 2005; Marshall dan Chin, 1998) Terdapat organisasi pengurusan kesihatan meningkatkan keberkesanan pengurusan kesihatan dengan menjalankan sistem komunikasi rangkaian; sistem mesej automatik; latihan; dan mekanisme untuk sokongan kejuruteraan supaya masyarakat boleh mendapatkan pemeriksaan atau rawatan sepanjang masa. (Epstein dan Street, 2007; Nelson dan Ball, 2004). Terdapat beberapa pusat penjagaan kesihatan telah mula menggunakan sistem aktif untuk membuat rekod kesihatan peribadi yang membolehkan pesakit akses dan membuat kawalan serta menjalankan amalan perilaku untuk mengawal kesihatan peribadi berdasarkan maklumat yang disediakan oleh pusat penjagaan kesihatan. (Brennan, Downs, Casper dan Kenron, 2007; Morales Rodriguez, Casper dan Brennan, 2007)

Menurut Lum (dipetik dari The Star, 2009), keberkesanan ujian saringan Pap Smear yang pertama dibuktikan oleh Scandinavia. Ini dibuktikan menerusi penurunan kadar kematian antara tahun 1965 hingga tahun 1982. Penurunan sebanyak 80% dalam kadar kematian di Iceland kerana keberkesanan pelaksanaan program pemerikasaan saringan Pap Smear yang membuat liputan kawasan yang luas di Iceland. Kadar kematian di Denmark turut menurun, sebanyak 40% penduduk wanita yang menjalankan pemeriksaan saringan Pap Smear. Pelaksanaan Program Pemeriksaan Saringan Pap Smear yang dijalankan di Kanada, United Kingdom, Australia dan New Zealand turut berjaya menurunkan kadar kematian yang disebabkan oleh kanser serviks. Pendedahan pemeriksaan saringan Pap Smear untuk mengurangkan risiko menghidapi kanser serviks di United Kingdom tertumpu kepada wanita yang berada dalam lingkungan umur antara 35 tahun hingga 64 tahun. Menurut Saunthari (dipetik dari The Star, 2008), kes penghidap kanser serviks di Amerika Syarikat menurun sebanyak 70% kerana wanita mula menjalankan pemeriksaan saringan Pap Smear secara berkala.

Tinjauan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006 menunjukkan bahawa hanya 43% wanita Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas pernah menjalani pemeriksaan  saringan Pap Smear. Ini adalah salah satu sebab kebanykan pesakit kanser serviks di negara ini lewat untuk rawatan. Menurut pakar perubatan, jika kanser ini dikesan dan dirawat awal, kadar sembuhnya adalah lebih tinggi dan lebih baik berbanding dengan mereka yang datang lewat untuk rawatan. Sekiranya mereka datang awal untuk rawatan, sebelum kanser tersebut merebak di tubuh badan mereka, lebih daripda 90% pesakit masih hidup selepas 5 tahun. Manakala jika pesakit datang lewat untuk rawatan, kurang daripda 15% masih hidup selepas 5 tahun.

Prihatin terhadap isu tersebut, Program Saringan Pap Smear dijalankan sejak 1960an lagi. Pada tahun 1981, program ini mula diperkenalkan kepada semua penerima perancang keluarga dan kini diperluaskan kepada wanita berusia di antara umur 20 hingga 65 tahun. Agensi-agensi yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan saringan di Malaysia ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), hospital universiti dan pihak swasta (hospital dan klinik swasta), hospital tentera serta badan bukan kerajaan seperti Persekutuan Persatuan Perancang Keluarga Malaysia (PPPLM). Pada tahun 2001, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalani pemeriksaan saringan Pap Smear secara percuma untuk 389,154 orang wanita manakala dalam sektor swasta, LPPKN, Pertubuhan Perancangan Keluarga dan hospital swasta menjalani saringan untuk 318,682 orang. Namun begitu, perangkaan ini hanya mewakili 12% wanita Malaysia yang berumur diantara 20 dan 65 tahun.